Monday, August 15, 2011

Ibu Mertuaku

Benarlah rezqi, jodoh, hidup serta mati adalah ketentuan Ilahi. Jika sudah ketentuan Allah, tidak akan ada apa yang dapat menghalang dari ianya terjadi atau sebaliknya melainkan dariNya jua. Sebagaimana jodoh ketentuan Illahi begitulah jua dengan bakal mertua..bak kata "sudah pakej". Sememangnya sudah kukupas soal jodoh dalam blog ku ini.. namun tidak puas rasanya jika tidak kulanjutkan tentang soal mertua, dan yang paling tepat IBU MERTUA.

Persoalannya.. mengapa ibu mertua yang selalu menjadi topik hangat? Dan mengapa juga wanita yang paling bimbang perihal ibu mertua? Serasanya ramai wanita sebelum berkahwin terfikir2 tentang bagaimana bakal mertuanya.. garangkah.. cerewetkah.. suka menyibukkah. Tidak kurang wanita mulai risau ..sudahkah diri siap dengan segala ilmu masak memasak yang memang tidak boleh dipisahkan dengan wanita.

Sesungguhnya diriku amat bertuah, dipertemukan dengan suami tercinta kerana melaluinya kutemui pengganti ibuku yang telah tiada.. Kasihku pada bonda kandungku usahla dibanding kerana tiada yang dapat menandingi kehebatan ibuku, kerana bondalah yang mendidikku...membesarkan diriku penuh kepayahan.. serasanya takkan dapat kubalas hingga ke akhir hayatku.

Bercerita tentang ibu mertuaku...syukur pada Illahi.. dialah sebaik2 pengganti bondaku selagi hayatku di dunia. Serasanya jika kuceritakan satu persatu kebaikannya pasti ramai yang takkan gusar bila lamaran diterima. Santunnya, budi bahasanya, kasih sayangnya, ingatannya pada menantu.. sehingga kadang2 terlupa diri merasa diri ini anaknya dan suami pula menantunya...

Namun bukan semua bernasib baik sepertiku. Seorang teman pernah berkisah padaku tentang mertuanya yang selalu meminta wang. Jika tidak diberi, dikatanya isteri yang 'control' suami walau hakikatnya kadang-kadang duit yang diberi adalah duit si isteri. Ada juga yang ibu mertua suka membanding-bandingkan antara menantu. Yang mana paling kuat mengipas dialah intan dialah permata bak cerita P.Ramlee dalam Ahmad Albab.

Namun dalam banyak2 cerita, cerita saudaraku lah yang paling menyentuh hati. Bukan setahun dua lamanya saudaraku menderita..hampir 20 tahun dia bertahan dengan seorang ibu mertua yang tidak pernah jemu merobek hati, menjamah lumat segala urat sendinya.. apa yang hebat tentang kisah ini bukannya segala penderitaan yang ditabur oleh mertua tapi tentang kehebatan sabarnya saudaraku ini sebagai menantu.

Sesungguhnya apalah yang sukar untuk menjadi seorang mertua yang kejam...apatah lagi si anak dan menantu hidup bersamanya.. barangkali dirasa menantu itu menumpang jadi apapun dikatanya adalah habuan dari kekurangan itu..entahlah. Cerewetnya usahla dibayangkan..kerana tidak pernah kutemui dalam hidupku insan secerewet itu. Dari urusan memasak, mengemas, membasuh kain, menguruskan anak2 dan serba serbi  segalanya pincang di mata mertua. Sedari jam 5 pagi sehingga lewat malam, bicaranya tidak pernah manis memujuk jiwa. Yang ada hanyalah bisa dan racun.. Astaqfirullah..

Bukan sekali malah bertahun lamanya kami yang hanya saudaranya turut menderita melihat deritanya.. sehingga terbit jua di mulut ibu pada saudaraku ini...apalagi yang kau tunggu..tidak kulahirkan kau ke dunia untuk dihina sebegini,..tidak kupelihara kau dengan penuh kasih sayang untuk melihat kau disakiti hari demi hari...Luluh hati seorang ibu ..dari kecil disayang2, ditimang2nya.. dijaga sehingga menjadi gadis sunti yang penuh beradab.. penuh ilmu agama di dada.. tetapi bila diserahkan pada suami dan keluarga besan.. anak pengarang jantung ayahanda bonda diperlakukan sedemikian rupa...

Bersyukur bapa saudaraku ini kukuh pegangan agamanya. Dipujuk si isteri dan di ajak takutkan Allah kerana perceraian meskipun diizin Allah namun itulah yang paling dimurkaiNya… sebagaimana sebuah hadis da’if meriwayatkan أبغض الحلال عند الله الطلاق.

Menangis jua saudaraku ini..namun dek kerana didikan agama yang baik dari ibu bapanya dia bertahan demi cintanya pada suami. Katanya, suaminya itu seorang pengasih, seorang yang romantik cuma saja dia tidak dapat lari dari ibunya kerana ibunya hanya mahu tinggal bersama suaminya itu.. manakan tidak, dalam seramai2 anak.. suaminya la yang paling sabar. Tidak pernah sekali ingkar kata si ibu..walau penat walau mengantuk apa yang disuruh dilakukan tanpa soal. Jadi, berkat itulah si isteri pun sabar.. menahan kepahitan meski terkadang empangan kesabaran pecah jua.. namun tidak pernah sekali dia  menzahirkan pada ibu mertuanya…Masya Allah…

Percayalah.. itu hanyalah segelintir kisah pahit dalam sebuah perkahwinan.. terlalu banyak lagi yang manis. Yang penting dalam sesebuah perhubungan adalah tolak ansur dan saling memahami serta dilapisi dengan keimanan kepada Allah. Sesungguhnya hubungan sesama manusia ini hanyalah wasilah menuju keredhaan Allah.. bak kata Ustaz dalam ceramah di IKIM yang saya kurang pasti namanya.. dalam perkahwinan itu adalah gedung pahala.. setiap yang kita lakukan adalah pahala.. berbakti pada suami pahala kepada anak pahala kepada isteri pahala.. Subhanallah..jadi rebutlah ia selagi hayat kita di muka bumi ini…Salam Ramadhan.

3 comments:

  1. Pandainye awak bercerita. Suke saya membaca nya.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih sudi membaca..saya sekadar mengisi masa terluang. Nahar juga apa kurangnya.. kata2 penuh hikmah.. petah bermadah menguji akal dan minda

    ReplyDelete
  3. saye suka.. saye suka...

    ReplyDelete